BIARPUN kehamilan merupakan idaman setiap wanita, namun wanita harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan semasa hamil terutamanya pada bulan Ramadan.
Tambahan, wanita hamil di bulan Ramadan memerlukan penjagaan dan pengambilan makanan secara teratur kerana amalan berpuasa dapat mengurangkan tenaga pada badan.
Badan yang lemah akibat berpuasa bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pada ibu tetapi bayi dalam kandungan juga akan turut mendapat implikasinya.
Disebabkan oleh pelbagai faktor tertentu, ibu yang hamil ada kalanya tidak dapat mengelakkan diri dari kemungkinan menghidap pelbagai komplikasi sepanjang kehamilan.
Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Ng Ah See berkata, ibu yang mengandung dalam tempoh tiga bulan pertama memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi terutamanya di bulan Ramadan.
"Tempoh tiga bulan pertama adalah waktu kritikal bagi bayi kerana berlaku pertumbuhan yang cepat pada bahagia organ mereka.
"Ibu yang berada dalam keadaan ini perlu merancang pengambilan makanan yang sihat. Ia bermula dengan pengambilan sarapan dan makanan dalam kuantiti yang kerap setiap hari," katanya.
Katanya, apabila berpuasa akan berlaku peningkatan kadar ketone dalam darah menyebabkan risiko berlaku kekurangan tenaga dalam badan.
"Akibat berlaku peningkatan kadar ketone dalam darah, ramai wanita yang mengandung dalam tempoh tiga bulan akan mengalami loya dan muntah, pening, pitam dan sentiasa berasa letih.
"Jika berlaku keadaan seperti ini, mereka digalakkan mengambil makanan tambahan yang mempunyai asid folik supaya kekal bertenaga dan boleh meneruskan puasa seperti biasa," kata Dr. Ng.
Katanya, akibat buruk jika kesihatan dan pengambilan makanan tidak dijaga akan menyebabkan berlaku komplikasi kepada bayi dalam kandungan.
"Bayi akan lahir sebagai bayi pramatang, beratnya lebih ringan, dan akan mengalami masalah pertumbuhan ketika proses tumbesaran berlaku.
"Selain itu pergerakan anak akan berkurangan dan ibu akan berasa sakit pada bahagian rahim akibat berlaku pengecutan selain sakit kepala dan juga demam," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa garis panduan yang boleh diikuti oleh ibu yang mengandung ketika berpuasa.
"Mereka dinasihatkan berjumpa doktor pada peringkat awal untuk memastikan tiada penyakit seperti diabetes, tekanan darah rendah ataupun masalah gastrik.
"Elakkan berjalan jauh dan membawa barang-barang yang berat kerana bebanan yang berat ditakuti akan berlaku kecederaan pada kandungan.
"Mereka juga perlu mengelakkan melakukan aktiviti yang akan menyebabkan badan berasa panas. Keadaan ini boleh menyebabkan badan terhidrat dengan cepat dan membahayakan kesihatan bayi," kata Dr. Ng.
Menurut beliau, pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat ketika berbuka dan juga bersahur akan membantu ibu mendapat tenaga secukupnya di siang hari.
"Banyakkan pengambilan sayuran dan buahan selain memilih makanan yang boleh menyimpan banyak tenaga seperti kurma, kacang dan bijirin.
"Utamakan makanan berkarbohidrat yang mudah dihadam dan mengurangkan makanan yang mempunyai banyak lemak. Ketika berbuka juga digalakkan meminum banyak air dan juga jus buahan segar," katanya.
Ujarnya, minuman berkafein seperti teh dan kopi tidak digalakkan untuk untuk ibu yang sedang mengandung ketika berpuasa.
"Seeloknya, gantikan minuman tersebut dengan milo dan minuman yang berperisa coklat ataupun minuman buah-buahan," kata Dr. Ng.
selamat hari raya aidilfitri :)
ReplyDelete