PERNAHKAH anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang 'biasa' semasa hamil.
Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita, mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.
Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.
"Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi," ujarnya di bengkel pendidikan bertajuk 'Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera' anjuran Merck Consumer Healthcare baru-baru ini.
Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.
KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.
Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.
"Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak," ujarnya
Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.
"Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia," ujarnya.
Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.
"Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu," katanya.
Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
"Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam," katanya.
Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan.
Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.
Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.
"Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil sert empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.
"Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.
"Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia," ujar Dr. Premitha.
No comments:
Post a Comment